Sep 26, 2025 12PM
D’Herbs, V Asia terajui senarai penyumbang zakat perniagaan tertinggi Selangor
D’Herbs Holdings dan Aura One Resources antara 22 syarikat korporat yang tersenarai sebagai penyumbang zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun ini.
Ia sekali gus memperkukuh peranan sektor korporat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta menyokong agenda pembangunan ummah.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari yakin sasaran kutipan zakat keseluruhan tahun 2025 sebanyak RM1.328 bilion mampu dicapai, termasuk sumbangan RM205 juta daripada zakat perniagaan.
“Sehingga kini, LZS telah menerima lebih RM117 juta zakat perniagaan daripada 8,500 syarikat. Angka ini memberi petanda positif bahawa kesedaran korporat semakin meningkat.
“Setiap sen zakat bukan sekadar angka, tetapi amanah dan harapan buat lebih 78,000 keluarga asnaf di Selangor yang memerlukan sokongan asas dalam kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Khaidzir berkata demikian pada satu Majlis Hi-Tea Bersama Pengeluar Zakat anjuran LZS dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di Shah Alam semalam.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan mencemar duli ke majlis berkenaan.
V Asia antara penyumbang tertinggi zakat perniagaan di Selangor
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM6,123,299 oleh syarikat-syarikat korporat, dengan D’Herbs Holdings milik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menyumbang RM900,000; Aura One Resources atau V Asia (RM702,432.50); XpertsCo Sdn Bhd (RM624,161.30); Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (RM599,160.82); Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd (RM550,000); Bawal Sdn Bhd (RM500,000); serta Public Islamic Bank Berhad (RM400,000).”
Pada majlis sama, Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan dana wakalah agihan zakat bernilai RM200,000 untuk disalurkan kepada program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia yang diusahakan oleh YRMS.
Program kali ini turut menekankan kerjasama erat bersama YRMS yang komited memperkasa potensi belia, pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan B40 serta asnaf, selaras dengan aspirasi Raja Muda.
Menurut Mohd Khaidzir, penglibatan syarikat dalam wakalah zakat dan kerjasama Corporate Social Responsibility (CSR) sebegini membuktikan bahawa zakat bukan hanya ibadah kewajipan, tetapi juga instrumen sosial yang memberi impak berganda kepada masyarakat.
“LZS menyeru lebih banyak syarikat untuk menunaikan zakat perniagaan secara berterusan dan sistematik, seterusnya memperkukuh budaya korporat yang berjiwa besar,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi YRMS, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda; Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Profesor Madya Dr. Haji Miszairi Sitiris serta barisan pemegang amanah YRMS.
Waktu Solat


28 Sep 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:44

