Apr 30, 2025 8PM
MIHAS 2025 sasar keuntungan RM4.5 billion dengan teknologi AI
Expo Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) yang ke-21 kali ini menyasarkan jualan sebanyak RM4.5 billion menerusi medan Perdagangan Digital MADANI (MDT) yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).
Medan MDT itu akan diterapkan dalam Program Sumber Antarabangsa (INSP), iaitu program padanan perniagaan yang mengeluarkan hasil jualan sebanyak RM2.53 billion pada tahun lalu.
Inisiatif yang dilancarkan bulan lepas itu selari dengan komitmen Malaysia ke arah agenda digitalisasi nasional yang meluas dan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) serta Rangka Tindakan Perdagangan Negara (NTBp).
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, MDT berperanan memperkasakan dan menghubungkan pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pasaran global.
Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican
“Dengan tema Mercu Keunggulan Halal, ia menggariskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi bagi mempamerkan kemajuan canggih terkini dalam Halal serta meraikan kecemerlangan global dalam sektor yang semakin berkembang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Pra-pelancaran MIHAS yang ke-21 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Reezal Merican berkata edisi MIHAS kali ini akan turut mengetengahkan budaya anggota-anggota ASEAN yang pelbagai.
Menurut beliau, ia susulan peranan Malaysia yang mempengerusikan sidang ASEAN tahun ini.
“Tujuan kita adalah untuk memupuk dialog dan kerjasama dua hala bagi memacu pertumbuhan perniagaan yang signifkan,” katanya.
Timbalan Setiausaha Agung (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri
Timbalan Setiausaha Agung (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri berkata, MIHAS merekodkan jualan RM4.3 billion dan melibatkan 2,100 reruai pada tahun lalu.
Sejak pelancarannya pada 2004, Hanafi Sakri berkata, MIHAS juga mencapai jualan export hampir RM30 billion dan menarik penglibatan 12,000 pemain industri tempatan dan luar negara serta 500,000 pelawat perdagangan sedunia.
“MIHAS memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor produk dan perkhidmatan Halal di pasaran global.
“Expo ini telah berkembang menjadi medan utama yang menghubungkan peniaga tempatan dengan pembeli global,” katanya.
Hanafi Sakri menggantikan Menteri Perdagangan, Tengku Zafrul yang tidak dapar hadir ke program tersebut atas urusan lain yang tidak dapat dielakkan.
Waktu Solat


02 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:13

