Back To Halal News

Feb 13, 2026 6PM

Pelaburan RM1 bilion McDonald’s Malaysia bakal jana 10,000 peluang pekerjaan

author

NADIA AZAM

McDonald’s Malaysia memperuntukkan pelaburan RM1 bilion bagi tempoh lima tahun untuk memacu perluasan cawangan sekali gus memperkasakan peluang kerjaya serta tahap kebolehpasaran belia tempatan.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, inisiatif itu membuktikan visi jangka panjang syarikat dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang kompeten serta memacu pemodenan rangkaian restoran di seluruh negara.

 

“Daripada jumlah itu, RM600 juta diperuntukkan untuk membuka restoran baharu, termasuk latihan kakitangan dan inisiatif pembangunan belia melalui Akademi Vokasional McDonald’s.


“Peruntukan ini akan membolehkan pembukaan 100 restoran baharu dan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan, dengan dasar pengambilan 100 peratus pekerja tempatan,” 

“Pertumbuhan kami dibina melalui disiplin, dedikasi dan fokus yang jelas terhadap pelaburan dalam perkara yang paling penting iaitu restoran, kakitangan dan komuniti sekeliling.

 

“Apabila kami terus berkembang, kami komited untuk mewujudkan pekerjaan stabil dan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.


Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar


Pengumuman itu bersempena dengan pembukaan semula McDonald’s Pandu-lalu Titiwangsa - restoran pandu lalu McDonald’s pertama di Malaysia - di Jalan Pahang, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Restoran pandu lalu itu kini diperkenalkan dengan konsep Luna, menjadikannya yang pertama di negara ini dan kedua di Asia.


Azmir menambah, RM200 juta diperuntukkan untuk pengubahsuaian, pembaikan, dan pemodenan lebih 150 restoran sedia ada di seluruh negara, manakala RM200 juta lagi akan dilaburkan dalam teknologi dan inisiatif digital, termasuk penambahbaikan sistem jualan melalui aplikasi McDonald’s.


“Pada masa sama, McDonald’s Malaysia mencatat prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan tahunan 26 peratus pada 2025, walaupun menghadapi persekitaran perniagaan mencabar. 

 

“Kejayaan ini didorong oleh permintaan pelanggan yang berterusan, tawaran nilai kepada pengguna, inovasi menu secara konsisten, serta fokus kepada kecemerlangan operasi di seluruh rangkaian restoran,” katanya.


Beliau berkata, McDonald’s Malaysia bercadang memperkukuh kehadirannya di Sabah dan Sarawak, selain terus berkembang di seluruh Semenanjung Malaysia, terutamanya di kawasan berpotensi tinggi dan yang menerima kunjungan pelancong.


“Kami melihat peluang pertumbuhan besar di Sabah dan Sarawak kerana masih banyak bandar belum mempunyai restoran McDonald’s. 


“Pada masa sama, kami akan terus berkembang di Lembah Klang dan lokasi strategik lain di Semenanjung,” katanya.


Azmir menjelaskan, syarikat juga merancang menambah jumlah francaisnya daripada 25 cawangan kini, yang dikendalikan oleh 11 pemegang francais, dengan sasaran membuka antara 70 hingga 100 restoran dalam tempoh lima hingga 10 tahun.


Suasana malam di restoran pandu lalu McDonald’s Titiwangsa yang tampak moden dan memukau


“Pelaburan francais agak besar, sekitar RM5 hingga RM7 juta setiap restoran, dengan tempoh pulangan antara tiga hingga lima tahun, menunjukkan pulangan yang cukup menjanjikan,” katanya.


Pengusaha restoran khidmat segera itu kini mengurus lebih 370 cawangan di seluruh negara dan mencatat pertumbuhan tahunan 26 peratus pada 2025, meskipun menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan.

 

Untuk rekod, komponen utama dalam pelaburan RM1 bilion itu ialah pengembangan berterusan Akademi Vokasional McDonald’s, yang dibangunkan melalui kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

 

Sejak diperkenalkan pada 2018, program itu telah membimbing lebih 5,000 belia, dengan majoriti lebih 80 peratus meneruskan kerjaya di McDonald’s Malaysia. Akademi berkenaan turut memberi manfaat kepada golongan kurang bernasib baik, termasuk belia daripada keluarga B40, individu OKU, dan komuniti Orang Asli.

 

Azmir menekankan bahawa pembangunan tenaga kerja kekal sebagai fokus utama strategi pelaburan McDonald’s melalui Akademi Vokasional McDonald’s, yang diwujudkan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Sistem Latihan Dual Nasional.

 

Beliau berkata, sejak 2018, akademi itu telah membimbing lebih 5,000 belia, termasuk mereka daripada keluarga B40, kawasan luar bandar, individu OKU, serta komuniti Orang Asli.

 

“Akademi ini berfungsi sebagai pusat pembangunan bakat, bukan sahaja untuk McDonald’s, tetapi juga bagi industri makanan, minuman, dan hospitaliti Malaysia secara keseluruhan.

 

“Kira-kira 80 peratus daripada graduan memilih untuk meneruskan kerjaya bersama kami,” katanya.

 

Azmir berkata, pada 2023, McDonald’s Malaysia menubuhkan salah satu daripada sembilan pusat latihan Hamburger University di peringkat global di Kuala Lumpur, menekankan komitmen syarikat terhadap pembangunan kepimpinan dan pembelajaran berterusan.

 

Menurutnya, pelaburan itu juga dijangka memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan, dengan kira-kira 75 peratus daripada makanan dan pembungkusan McDonald’s Malaysia diperoleh daripada pembekal tempatan.

 

“Malaysia kini merupakan salah satu pengeksport utama produk makanan halal dalam rantaian bekalan global McDonald’s, sekaligus mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta menyokong pembekal dan petani tempatan,” katanya.


Menurut beliau, kecekapan operasi kekal menjadi keutamaan, membolehkan syarikat mengekalkan harga menu kompetitif.


“Pada 2025, kenaikan harga menu kami adalah kira-kira separuh daripada kadar inflasi Malaysia, disokong oleh penambahbaikan berterusan dalam kecekapan rantaian bekalan dan operasi restoran,” katanya.







Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

14 Feb 2026

Waktu solat berikutnya,

Syuruk

pada

07:26

mosque
imsak

Imsak

06:09:00

fajr

Fajr

06:19:00

syuruk

Syuruk

07:26:00

dhuhr

Dhuhr

13:30:00

asr

Asr

16:49:00

maghrib

Maghrib

19:29:00

isha

Isha

20:40:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase