Jul 25, 2025 6PM
Premis makanan halal didakwa sediakan hidangan halal dengan minuman beralkohol
Sebuah premis makanan yang diiktiraf halal didakwa menyediakan hidangan dari dapur disahkan halal bersama minum beralkohol di bar miliknya baru-baru ini.
Seorang Eksekutif Halal tanpa nama mendedahkan pengurusan perniagaan terbabit tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana bimbang akan rungutan pelanggan.
Beliau mendakwa, pihak pengurusan sedar berhubung SOP ditetapkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020 keluaran Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) namun mereka tidak menghiraukan garis panduan berkenaan.
Kata individu tersebut, pengiktirafan halal yang digunakan semata-mata untuk menarik pengunjung Muslim ke premis sahaja.
“Saya Eksekutif Halal yang baru dilantik untuk menggantikan pegawai yang meletakkan jawatan sebelum ini.
“Jadi, saya periksa semula SOP yang dibuat oleh pegawai sebelum ini dan SOP itu menggariskan dengan jelas bahawa makanan halal tidak boleh dihidangkan di bar.
Laman Facebook itu menghimpunkan bukan sahaja pekerja dalam bidang halal namun orang kebiasaan yang peduli akan hal ehwal halal secara amnya.
“Bagaimanapun, apabila saya tegur, pengurusan bersikap tidak endah atas alasan pelanggan yang mahu makan sambil minum maka mereka benarkan sahaja sedangkan bagi saya isu ini kritikal sebab sijil halal boleh ditarik balik,” jelasnya dalam sebuah kenyataan di laman Facebook Halal Executive Community Group.
Untuk rekod, MPPHM 2020 menggariskan bahawa hidangan yang disediakan dari dapur dipersijilkan halal hendaklah tidak bercampur dengan hidangan dari dapur yang tidak dipersijilkan halal.
Menurut eksekutif itu, premis tersebut juga didakwa tidak mengamalkan pengasingan sudu garfu dan pinggan mangkuk serta tidak memenuhi SOP bagi zon halal yang ia sendiri tubuhkan berikutan kedudukan bar yang berhampiran dengan restoran.
Beliau berkata, audit dalaman sudah dibuat dan dilaporkan kepada pihak pengurusan namun tindakan pembetulan susulan laporannya tidak dilaksanakan.
Lebih dukacita, beliau mendakwa pengurusan premis hanya mencipta SOP itu hanya untuk mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh JAKIM serta bermacam lagi bentuk alasan.
Eksekutif Halal yang memuat naik hantaran terbabit juga bertanggungjawab sebagai jurujual syarikat yang menambah lebih banyak kerja ke atas dirinya.
“Sekarang saya sedang menyiapkan dokumentasi halal yang pegawai sebelum ini tidak selesaikan selama berbulan-bulan.
“Latihan halal sahaja saya tidak boleh mulakan sebab bagaimana saya hendak laksanakan apabila isu percampuran minuman beralkohol dengan makanan halal juga saya tak boleh selesaikan?
“Saya rasa macam tiada guna ada Eksekutif Halal dalam syarikat, saya seakan-akan membazir masa dan tenaga untuk menegakkan halal namun tiada siapa hendak beri kerjasama,” ujarnya.
Walapun nama premis tidak didedahkan, pemilik hantaran berkata premis tersebut bertempat di sebuah pulau di Semenanjung Malaysia yang menimbulkan tanda tanya netizen.
Hantaran beliau raih perhatian pengguna Facebook, khususnya ahli kumpulan laman tersebut yang rata-rata menasihatinya untuk melaporkan isu tersebut kepada badan berautoriti seperti JAKIM.
JAKIM berupaya menarik semula pensijilan halal yang dikeluarkan sekiranya premis terbabit didapati tidak mematuhi piawaian halal yang ditetapkan. (kredit foto: Malaysiakini)
Seorang pengguna dengan nama Aqilah Cr berkata, status syarikat yang sudah mendapat sijil halal kini boleh diragui akibat tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang hanya sekadar mendapatkan sijil halal namun tidak memenuhi keperluan sebenar halal.
“Kalau terjumpa tindakan seperti ini lebih baik laporkan terus kepada JAKIM, rasanya JAKIM tidak akan dedahkan maklumat pengadu,” katanya pada ruangan komen.
Bagaimanapun, seorang pengguna dengan nama Nafisah Nurul pula berkata, sebaiknya pengadu cuba menerangkan fungsi halal dalaman kepada pengurusan dengan sokongan jawatankuasa halal terlebih dahulu sebelum melaporkan premis tersebut kepada JAKIM.
“Kadang-kadang pengurusan masih tidak faham akan konsep halal, hanya patuhi untuk memenuhi keperluan JAKIM dan saya faham mendidik mereka juga tidak mudah tetapi kita sebagai orang Islam harus ada rasa tanggungjawab bersama,” katanya.
Kini, hantaran tersebut telah meraih 47 reaksi, 40 komen dan enam perkongsian sejak dimuat naik pada 24 Julai, jam 1.30 petang.
Waktu Solat


27 Jul 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:45

