Mar 17, 2025 11AM
Di ambang perceraian, platform MySakinah bantu pasangan selamatkan perkahwinan
Pasangan dalam rumah tangga yang goyah dan bakal mendekati ambang perceraian seringkali dipersimpangan tanpa sokongan dan maklumat yang tepat dan akhirnya lebih memilih untuk berpisah, terutamanya apabila sebelah pihak seakan bertepuk sebelah tangan di akhir hubungan.
Bagi membantu pasangan untuk menghindari perceraian, mengalah sebelum melakukan sesuatu, platform MySakinah dicipta untuk membantu pasangan memikirkan semula, berhubung semula dan selamatkan perkahwinan yang dibina.
Pengasas MySakinah, Zafrul Noordin membangunkan platform ini berasaskan data, statistik dan kajian yang beliau dapati untuk menghasilkan modul yang menyeluruh.
Pengasas MySakinah, Zafrul Noordin berkata, platform ini khusus untuk membantu pasangan yang ingin menyelamatkan rumah tangga mereka, bukan saja bertahan dan bersabar tetapi menikmati perkahwinan tersebut mengikut kepada lunas dan ajaran agama Islam.
Beliau terdetik untuk membangunkan platform ini selepas melalui proses perceraiannya sendiri beberapa tahun yang lalu, di mana banyak masa, tenaga dan kos dilaburkan ke arah untuk berpisah.
“Saya sendiri pernah bercerai dan, ketika saya dan bekas isteri cuba menyelamatkan rumah tangga kami, saya tak dapat banyak pertolongan yang saya perlukan. Saya juga tidak tahu siapa yang boleh membantu saya dan bekas isteri untuk menjernihkan keadaan”
“Di Malaysia, ada pakar terapi tetapi 40,000 orang terpaksa mengadakan sesi bersama dengan 1 pakar terapi perceraian manakala kaunseling di Jabatan Agama pula hanya diadakan sebanyak dua kali sahaja, dan ini tidak menyeluruh” katanya.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MySakinah itu juga berkata, kadar perceraian di negara ini adalah sangat tinggi dan membimbangkan, dengan 1 daripada 3 pasangan yang berkahwin mempunyai niat untuk bercerai.
Melihat trend itu meningkat, Zafrul memulakan startup MySakinah tiga tahun lepas untuk mendorong pasangan menghidupkan rumah tangga mereka menerusi program ‘Marriage Revival’.
Pelbagai kursus yang merangkumi topik-topik relevan dalam perkahwinan ditawarkan di MySakinah.
Program sulung MySakinah itu berteraskan konsep marriage coaching di mana pasangan dihubungkan dengan coach peribadi sepanjang 6 minggu program berlangsung untuk menyelesaikan isu keretakan rumah tangga yang dialami.
Berbeza dengan kaunseling di bawah Jabatan Agama atau pakar terapi perkahwinan, program tersebut memegang slogan “save your marriage even if you’re the only one trying” yang hanya memerlukan penglibatan sekurang-kurangnya salah seorang pasangan untuk menghadiri sesi, kata Zafrul ketika sesi temu ramah bersama Kinihalal.
Bagaimanapun, MySakinah menapis permohonan bagi program ini dengan teliti untuk memastikan kes-kes yang ekstrim seperti penderaan, penggunaan dadah dan seumpamanya dielakkan.
“Orang boleh bayar RM10,000 dekat peguam untuk bercerai, kenapa tidak labur jumlah yang sama kepada MySakinah dan kekalkan masjid yang dibina?”
“Marriage Revival, setakat ini, telah membantu 2000 pasangan dan menyelamatkan 500 perkahwinan.” kata pengasas Andalus Ventures itu lagi.
Program Transformasi Perkahwinan mengupas pelbagai topik berkaitan isu rumah tangga dalam 200 episod yang akan disiarkan sepanjang tahun ini.
Baru-baru ini, MySakinah melancarkan program keduanya, Transformasi Perkahwinan dengan matlamat yang sama pada kadar yuran yang mampu milik agar modul ini dapat membantu semua lapisan ekonomi bagi akses perkhidmatan mereka.
Para peserta program Transformasi Perkahwinan boleh menyertai sesi perkongsian secara atas talian dan menanyakan soalan tanpa mendedahkan identiti mereka.
Program bersiri ini menjemput pakar-pakar bertauliah daripada pelbagai bidang relevan untuk mengetengahkan dan merungkai lebih 200 isu rumah tangga yang dihadapi oleh pasangan suami isteri secara mendalam dan komprehensif, kata Zafrul.
Pakar startup itu juga berkata, program ini melibatkan usaha sama antara MySakinah dan 20 orang pakar untuk memastikan semua isu dikupas dengan teliti, terperinci dan terangkum.
“Saya menghubungi ramai pakar untuk turut serta dalam program ni, dan alhamdulillah ramai telah bersetuju untuk sama-sama membantu, untuk menyebarkan kesedaran dan menyelamatkan perkahwinan itu disuruh oleh agama serta sedikit sebanyak turunkan kadar perceraian.” tambah beliau lagi.
Pembahagian trek MySakinah mengikut jantina pasangan adalah penting untuk memastikan kandungan sesuai dengan perspektif suami dan isteri yang berbeza.
Apa yang lebih menarik ialah suami dan isteri boleh mengikuti trek berbeza ketika menjalani program ini memandangkan program ini membahagikan kandungannya untuk disesuaikan kepada perspektif suami atau isteri.
Transformasi Perkahwinan dijangka untuk disiarkan di MySakinah sepanjang tahun ini.
Dalam pada itu, Zafrul memaklumkan bahawa MySakinah dalam rancangan untuk melancarkan satu teknologi baru berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada suku pertama tahun ini yang akan memudahkan lebih ramai pasangan yang terhimpit dalam masalah sama untuk mendapatkan bantuan.
Antara program lain pula ialah ‘Marital Health Check Up’ yang akan diadakan pada bulan Ramadan.
Berteraskan konsep klinikal, pasangan boleh mendapatkan pemeriksaan dan diagnosis dengan pakar bertauliah untuk menilai tahap ‘kesihatan’ hubungan dan perkahwinan mereka melalui program ini, tambah Zafrul.
Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perceraian dalam kalangan pasangan Muslim menyumbang sebanyak 76.6 peratus daripada jumlah perceraian pada tahun 2023.
Menurut kenyataan DOSM, kadar perceraian secara keseluruhan meningkat pada tahun 2023 dengan 57,835 kes direkodkan berbanding pada tahun 2021 yang merekodkan kes sebanyak 43,936 kes.
Bagi mereka yang berminat, boleh layari www.mysakinah.com/my atau sertai komuniti MySakinah di aplikasi Telegram https://t.me/sakinahku.
Waktu Solat


28 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:30

