Apr 23, 2025 5PM
Pakistan sasar untung US$200 juta, eksport daging halal ke Malaysia
Menteri Penyelidikan dan Keterjaminan Makanan Pakistan, Rana Tanveer Hussain menganggarkan keuntungan melibatkan AS$200 juta (RM876 juta) di antara kedua-dua negara sekiranya perjanjian eksport daging halal dimeterai dengan Malaysia.
Ketika berucap pada satu mesyuarat tertinggi, Rana berkata, kerajaan kini sedang giat menjalankan rundingan untuk mengangkat kedudukan Pakistan dalam pasaran halal sedunia.
Beliau menekankan bahawa perkembangan eksport daging halal adalah penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Rana turut mengesahkan perbincangan bersama Malaysia sedang berjalan dalam usaha memuktamadkan perjanjian tersebut.
Menteri Penyelidikan dan Keterjaminan Makanan Pakistan, Rana Tanveer Hussain (kredit foto: The News International)
“Sekiranya (perjanjian) dimuktamadkan, eksport daging halal boleh mencecah RM876 juta dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya seperti dipetik The Express Tribune.
Rana berkata, kerjasama antara Pakistan dan Malaysia juga berpotensi merangkumi pelbagai sektor lain termasuk pertanian, tenaga, teknologi maklumat dan perdagangan.
Justeru, beliau berkata, Pakistan komited untuk menjaga piawaian kualiti antarabangsa dan bersedia sepenuhnya untuk membekalkan daging halal premium ke Malaysia dalam masa terdekat.
Ia susulan lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan di mana kedua-dua kerajaan bersetuju untuk meneruskan perjanjian eksport daging halal bernilai RM876 juta itu.
Malaysia-Pakistan Business Council (MALPAK) bertanggungjawab memastikan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Pakistan berjalan lancar (kredit foto: Facebook MALPAK)
Untuk rekod, Pakistan merupakan rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar dalam Asia Tenggara.
Bagi mengeratkan lagi hubungan ekonomi dua hala, Majlis Perniagaan Pakistan-Malaysia (PMBC) dan Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan (MALPAK) turut berbincang untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama dalam sektor perdagangan halal.
Mesyuarat yang memfokuskan strategi eksport itu dihadiri Menteri Perdagangan, Jam Kamal Khan dan Penasihat Perdana Menteri dalam Industri, Haroon Akhtar Khan yang menyokong inisiatif untuk memajukan eksport daging halal itu.
Waktu Solat


24 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:29

