Mar 28, 2025 1PM
Selebriti terkenal berangkat ke Tanah Suci, kejar Malam Lailatul Qadar
Menjelang 10 malam terakhir Ramadan, ramai selebriti tanah air berpusu-pusu untuk menunaikan ibadah Umrah dan mengejar malam Lailatul Qadar di Makkah dan Madinah, Arab Saudi.
Antara selebriti yang menyahut panggilan ke tanah suci adalah Bella Astillah dengan ditemani adiknya, Didi Astillah; Amira Othman; Fauziah Gous dan suami serta Rozita Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Bonda Rozita bersama suaminya.
Bella berkata, beliau sudah menyelesaikan ibadah umrahnya baru-baru ini bersama Didi dan berkesempatan menangis air mata gembira di hadapan Kaabah ketika berada di Makkah.
Bella Astillah bersama adiknya, Didi Astillah di tanah suci Makkah, Arab Saudi
(kredit foto: Instagram Bella Astillah)
“Tahun lepas Bella datang dengan tangisan kesedihan sehingga sakit dada ketika mengadu pada-Nya, dan kali ini juga menangis di depan Kaabah tapi kerana rasa syukur dan ingin berterima kasih kepada Allah s.w.t kerana telah memberikan apa yang saya doa waktu kali terakhir saya datang.
“Alhamdulillah, betapa Allah Maha Baik kepada hamba-Nya. Bella turut mendoakan semua yang mengenali Bella ataupun tidak.” kata penyanyi popular itu seperti dipetik Awani.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu juga berkata, beliau tidak pernah menyangka yang beliau akan menerima sokongan dan kasih sayang daripada orang ramai lalu berterima kasih akan setiap kebaikan yang beliau terima.
Fouziah Gous khatam al-Quran di Makkah dengan al-Quran yang tertulis nama arwah bapanya
(kredit foto: Instagram Fouziah Gous)
Pada masa sama, Fouziah Gous berkata beliau telah khatam al-Quran pada malam Ramadan yang ke-22 di Makkah pada Jumaat.
Pelakon dan pengacara itu berkata, pada awalnya beliau tidak menyangka dirinya berupaya untuk mengunjungi Makkah berikutan keadaan kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan.
"Hari ini malam ke-22 Ramadan di Makkah, tanpa dirancang saya berjaya khatam al-Quran.
"Tak sangka langsung saya akan sampai ke Makkah tahun ini akhir Ramadan kerana ibu baru lepas menjalani pembedahan kaki dan banyak komitmen lain. Memang dari awal hanya niat nak khatam apabila sampai waktu," jelasnya seperti dipetik portal media Majoriti.
Jumlah pengunjung ke Masjidil Haram dijangka meningkat pada 10 malam terakhir Ramadan
Sepanjang Ramadan, Arab Saudi telah mencatat rekod pengunjung Masjidil Haram tertinggi dalam sehari iaitu seramai 500,000 orang pada 6 Mac manakala rekod pengunjung pada 10 hari pertama seramai 25 juta orang dari pelbagai pelusuk dunia.
Jumlah pengunjung ke tanah suci itu dianggarkan meningkat sewaktu umat Islam menghampiri 10 malam terakhir Ramadan dalam misi mengejar malam Lailatul Qadar.
Pada orang yang beriman, malam Lailatul Qadar merupakan malam yang istimewa di mana pintu rezeki dibuka seluas-luasnya dan doa-doa mereka diangkat ke langit tanpa hisab.
Malam Kemuliaan ini juga mendekatkan diri setiap umat Islam dengan Allah S.W.T maka setiap muslim akan merebut peluang setahun sekali ini untuk bertaubat, meminta pengampunan dan memperbaiki hubungan dengan Allah S.W.T.
Waktu Solat



