Back To Review By Kinihalal

Jan 06, 2025 12PM

Rasa muhasabah bila Ziarah Sepanyol?

author

SYILDA ISMAIL

Sepanyol bukan saja terkenal dengan seni bina yang memukau dan landskap semula jadi yang menakjubkan, tetapi ia juga menyimpan warisan Islam yang sangat berharga. 


Bagi umat Islam, Sepanyol adalah destinasi yang bukan saja menginspirasikan, malah memberi pengajaran tentang kegemilangan sejarah peradaban Islam.


Editor Kanan Kinihalal, Syilda Ismail turut serta dalam lawatan ziarah umrah Sepanyol kelolaan Andalusia Travel & Tours yang dipimpin pemandu pelancong khas dari negara Sepanyol, Yusuf Escudero dan mutawif Ustaz Wan Rahman.


1. Mengenali Sejarah  dan Senibina Unik Keagungan Andalusia

Andalusia merupakan pusat tamadun Islam di Eropah pada abad ke-8 hingga ke-15.


Bandar seperti Cordoba, Granada, dan Seville pernah menjadi pusat ilmu, seni, dan budaya.


Masjid Cordoba (Mezquita) dan Alhambra di Granada adalah simbol kehebatan seni bina Islam yang mempamerkan kehalusan budaya Islam pada zaman itu.

Masjid-Katedral Córdoba



Sebuah mercu tanda seni bina Islam dan Bizantin, masjid itu pernah menjadi yang terbesar di dunia. Seni bina uniknya menjadi rujukan kepada pembinaan masjid-masjid lain di Sepanyol dan serata dunia. 


Melangkah masuk ke Masjid-Katedral Córdoba adalah seperti memasuki sebuah ruang masa yang menyatukan sejarah, seni, dan spiritualiti. 


Sebaik saja penulis menjejakkan kaki ke dalam ruang masjid yang kini menjadi gereja, pengunjung akan disambut oleh deretan tiang-tiang  merah dan putih yang mengisi ruang dan berada di dalam monumen ini seolah-olah tergantung di antara masa silam dan masa kini. 


Tiang-tiang itu antaranya dihiasi dengan ukiran halus, ayat-ayat al-Quran yang terukir pada dinding, serta motif geometri yang menonjolkan kehalusan seni Islam.


Bahagian tengah masjid, yang kini menjadi ruang gereja mencipta pengalaman yang mencetuskan refleksi mendalam buat diri penulis.  


Melihat gabungan seni bina Islam dan Kristian di bawah satu bumbung, ada perasaan berbaur sedih bercampur bangga, kerana tidak dapat lari daripada mengagumi kebijaksanaan, kemahiran, dan kreativiti orang Islam namun kini hasil karya ini hanya tinggal kenangan dan 'dimuziumkan' saja.


Alhambra, Granada 



Melangkah masuk ke Alhambra di Granada ibarat memasuki dunia lain–sukar diungkap dengan kata-kata. 


Permata seni bina Andalusia ini bukan sekadar sebuah monumen, tetapi sebuah kisah yang hidup, menggambarkan kehebatan peradaban Islam pada zaman kegemilangannya.




Gabungan seni bina Islam yang rumit, kaligrafi yang terukir indah, dan taman-taman yang penuh dengan bunga dan pancur air menjadikan setiap sudut Alhambra begitu memukau. 


Anda pasti akan merakamkan momen-momen Instagram anda di situ. Penulis kagum melihat ukiran-ukiran halus yang memenuhi ruang dinding, siling, dan tiang.



Setiap reka bentuk seolah-olah meluahkan pujian kepada Sang Pencipta, mengingatkan pengunjung tentang kebesaran dan keindahan Allah yang Maha Esa.


Melawat Alhambra adalah sebuah pengalaman rohani, visual, dan emosi yang akan terus kekal di hati.

Medina Azzahra 

Berjalan di antara runtuhan Medina Az-Zahra membawa perasaan kagum terhadap kemahiran umat Islam pada masa itu. 


Ia tidak hanya berfungsi sebagai pusat pentadbiran, tetapi juga sebagai simbol kekuasaan dan kemajuan peradaban Islam ketika itu. 



Di samping seni binanya yang memukau, berada di Medina Az-Zahra juga mengundang rasa muhasabah.


Setiap langkah di runtuhan kota itu menghubungkan kita dengan sejarah yang penuh kebanggaan, suatu ketika dulu. 

2. Belajar Daripada Kegemilangan dan Kejatuhan Islam di Andalusia

Melawat Sepanyol membawa kita merenung bagaimana peradaban itu mencapai puncak kejayaan.

 

Namun, pada masa yang sama, ia juga meninggalkan rasa sayu apabila menyedari kejatuhan tamadun yang berpunca daripada perpecahan dalaman dan kelemahan politik.

 

Di sebalik keindahan seni bina dan kehebatan ilmu yang ditinggalkan, timbul rasa kesedaran tentang betapa rapuhnya sesuatu tamadun jika tiada kesatuan dan kepimpinan yang kukuh.

 

Perjalanan ini menjadi muhasabah yang mendalam bagi kita semua untuk mengambil hikmah dan iktibar dari kejatuhan itu. 

3. Menguatkan Hubungan Spiritual

Melawat tempat-tempat bersejarah Islam di Sepanyol juga memberi peluang untuk mengingatkan kita kepada perjuangan umat Islam terdahulu dalam menyebarkan agama Islam dan membina tamadun yang bertunjangkan nilai-nilai Islam.


Tempat-tempat itu bukan saja saksi kepada kemajuan intelektual dan seni bina yang menakjubkan, tetapi juga merupakan peringatan kepada pengunjung tentang keteguhan iman dan dedikasi umat Islam dalam memperjuangkan ajaran agama. 


Setiap langkah yang diambil di kawasan bersejarah berkenaan memberi ruang untuk  merenung kembali makna perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh generasi sebelumnya.  


Mengunjungi tapak-tapak bersejarah juga menyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan yang sama – membina masyarakat yang adil, berilmu, dan berakhlak mulia, berlandaskan ajaran Islam.

4. Menyokong Komuniti Muslim di Sepanyol

Pada tahun 2024 menurut Suruhanjaya Islam Sepanyol melaporkan terdapat 2.5 juta orang Islam di Sepanyol, iaitu kira-kira 5.32 peratus daripada populasi 47 juta orang Sepanyol. 

 

Sektor pelancongan ialah industri penting bagi Andalusia dan mampu menyumbang  ekonomi tempatan melalui penginapan hotel, restoran, pemandu pelancongan dan kebudayaan. 

 

Kebanyakan perniagaan berkenaan terutamanya di bandar seperti Granada, Córdoba dan Seville, dimiliki atau dikendalikan oleh orang Islam tempatan.

 

Rangsangan ekonomi itu membantu mengukuhkan kestabilan kewangan umat Islam dan memberi solidariti umat islam di Sepanyol. 

 

Terdapat peningkatan permintaan untuk perkhidmatan mesra muslim (muslim friendly) seperti restoran halal, ruang solat dan pelancongan Islam. 


Kesimpulan

Melawat Sepanyol dari sudut Islamik adalah lebih daripada sekadar pelancongan. Ia adalah peluang untuk mendalami sejarah, menghargai seni budaya Islam, dan mengambil pengajaran berharga untuk masa depan.


Andalusia adalah simbol kegemilangan Islam yang harus kita hargai dan jadikan inspirasi dalam membina tamadun Islam yang lebih gemilang pada masa akan datang.


Bagi yang berminat untuk menyelusuri pengalaman yang sama, Andalusia Tours & Travel menyediakan pakej umrah ziarah ke Sepanyol. 


Kunjungi Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd - Your One Stop Travel Agency



Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

16 Jan 2025

Waktu solat berikutnya,

Dhuhr

pada

13:26

mosque
imsak

Imsak

06:03:00

fajr

Fajr

06:13:00

syuruk

Syuruk

07:24:00

dhuhr

Dhuhr

13:26:00

asr

Asr

16:48:00

maghrib

Maghrib

19:23:00

isha

Isha

20:37:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

hiphip

Media Partner for

Hei 2023Hei 2023Malaysia Showcase